
Saya ni asalnya dilahirkan sepertimana kebanyakan orang. Namun, semasa kanak-kanak, telah berlakunya perkara yang mengubah kehidupan saya buat selamanya. Mata saya disahkan dijangkiti kuman. Akibatnya, saya kehilangan sebahagian besar keupayaan untuk melihat dengan sempurna.
Penglihatan saya menjadi terhad dan menyukarkan saya untuk menjalani kehidupan macam orang lain. Dari situ bermulalah kehidupan saya sebagai seorang OKU Penglihatan. Berbekalkan keupayaan yang berbaki dan semangat untuk mencapai impian dan cita-cita, saya meneruskan perjalanan hidup.
Dari sinilah saya pelajari bahawa, untuk kita mencapai kejayaan, kekuatan dalaman adalah penting untuk kita atasi sebarang cabaran hidup. Sebab itulah saya muncul di media sosial bagi mengingatkan kita semua. Secara fizikal, saya nampak seperti insan lain. Namun, hakikatnya, saya mempunyai cabaran penglihatan.
Semenjak kanak-kanak lagi, saya sangat menekankan bidang akademik. Bagi saya ketika itu, kejayaan dalam akademik adalah tiket untuk kejayaan yang lebih besar.
Selepas menamatkan pengajian di peringkat menengah, saya meneruskan pula pengajian tinggi bagi memperoleh ijazah sarjana muda. Walaupun perlu menempuh pelbagai cabaran sepanjang pengajian, akhirnya saya berjaya juga menamatkan pengajian.


Setelah tamat pengajian peringkat sarjana muda di Malaysia, saya terbang pula ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Telah menjadi impian saya sejak dibangku sekolah lagi untuk merasai pengalaman belajar di luar negara.
Walaupun saya sedari cabaran yang akan ditempuhi jika saya berada di luar negara sebagai OKU, saya tetap kuatkan semangat untuk mencuba dan merasai pengalaman yang dirasai oleh orang lain.
Pengalaman menuntut ilmu di luar negara bukan sahaja meluaskan pengetahuan saya, malah memberikan saya perspektif yang lebih luas tentang apa yang berlaku di luar kepompong kita.
Setelah menamatkan pengajian di peringkat master, saya menyambung pula pengajian di peringkat PhD. Ia merupakan suatu perjalanan akademik yang paling mencabar dan banyak membentuk gaya fikir dan daya tahan diri.

Kini, selain berkongsi mengenai pembangunan diri di media sosial, saya juga menjalankan perniagaan untuk membantu usahawan kecil dan sederhana dengan pelbagai solusi digital bagi menmpersiapkan mereka dalam mengharungi dunia perniagaan di era serba digital ini.
Hubungi Saya
Pernah Muncul Di...




ACKNOWLEDGEMENT
Cerita di sini tidak akan sesekali berlaku tanpa keizinan Yang Maha Esa serta budi dan bakti kedua ibu bapa, guru-guru, sahabat-sahabat, dan insan-insan di belakang tabir yang telah banyak membantu. Ingatlah, tiada keindahan dalam hidup kita ini yang dapat dirasai hasil usaha sendiri semata-mata. Pasti ada insan-insan lain di sebalik setiap cerita itu.
